Wednesday 18 October 2017

ADAKAH NABI TERDAHULU TIDAK MENINGGALKAN KERJA DAKWAH KEPADA UMMAT?

Hamba ingin menasihati diri hamba dan saudara-saudari seagama sekalian bahawa apabila bercakap mengenai para nabi, maka kita perlu menjaga adab di dalam bahasa kita. Segala perkataan yang boleh menjatuhkan maruah mana-mana nabi adalah perkara yang berat, sama ada ia dituturkan oleh cendekiawan mahupun orang biasa.

Maka, kata-kata seperti "beza antara umat ini dan umat terdahulu ialah para nabi terdahulu  tidak meninggalkan usaha dakwah dan agama ke atas umat mereka, sehingga generasi yang datang selepas kematian nabi mereka menjadi jauh dari agama" adalah satu perkataan yang amatlah tidak wajar. Ini adalah sesuatu yang hamba sering dengar, sama ada di negara ini mahupun di negara yang lain. Terus terang hamba katakan ia adalah kata-kata yang biadap, penuh dengan kejahilan dan tidak menghormati para nabi. Seolah memberi gambaran bahawa para nabi tidak menjalankan tugas mereka dengan cara selayaknya. Malah ia terang-terang bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah. Maka adalah menjadi kefardhuan umat Islam untuk menghentikan kalam jahil seperti ini.

Allah ta'ala berfirman di dalam Surah Maryam selepas menceritakan kisah beberapa nabi:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ مِن ذُرِّيَّةِ آدَمَ وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ وَمِن ذُرِّيَّةِ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْرَائِيلَ وَمِمَّنْ هَدَيْنَا وَاجْتَبَيْنَا ۚ إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَٰنِ خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا ۩ (58) ۞ فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا (59)

58. Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat (yang melimpah-limpah) kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.
59. Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)

Jelas ayat di atas menunjukkan bahawa kesesatan umat para nabi terdahulu adalah kerana tindakan mereka sendiri yang berpaling ajaran nabi mereka. Bukan kerana nabi mereka tidak meninggalkan usaha agama kepada pengikut mereka!

Ini dijelaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya dari Ibnu Mas'ud r.a:

مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللَّهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرُونَ

"Tiada mana-mana Nabi yang dibangkitkan Allah dalam mana-mana umat sebelumku melainkan beliau mempunyai dari kalangan umatnya para pembantu dan pendamping yang memegang sunnahnya dan mengikut perintahnya. Kemudian selepas itu mereka diganti oleh pengganti-pengganti yang berkata apa yang mereka tidak lakukan, dan melakukan apa yang tidak disuruh."

Nah, apa lagi yang lebih terang dari penjelasan Rasulullah s.a.w? Masa bila para nabi tidak meninggalkan usaha agama kepada kaum mereka? Apa dalil kamu apabila kamu sewenang-wenang mendakwa para seolah tidak mewariskan usaha agama kepada umat mereka? Lupakah kamu wasiat Nabi Ibrahim a.s kepada anak-anaknya dan begitu juga Nabi Ya'qub kepada anak-anaknya sebelum wafatnya  seperti yang diceritakan Allah ta'ala sendiri dalam Surah Baqarah?

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (132) أَمْ كُنتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِن بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَٰهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ (133)

132. Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".
133. Atau adakah kamu (wahai orang-yahudi Yahudi) hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri".

Apa yang menyedihkan ialah apabila ada sesetengah cendekiawan agama sendiri boleh tergelincir dan tersasul sehingga tak perasan menuturkan kata yang penuh bahaya ini. Maka kesannya orang awam yang ikhlas berdakwah ikut terjebak sama.

Penyair bermadah:
فَإنْ كُنتَ لا تَدرِى فَتِلكَ مُصِيبَةٌ # وَإنْ كُنتَ تَدرِى فَالْمُصِيبَةُ أعْظَمُ
"Kalau kamu tidak tahu (bahawa apa yang kamu buat itu salah), itu adalah satu bala. Dan sekiranya kamu tahu (tapi tetap juga buat) maka balanya lagi besar."

Oleh itu, marilah sama-sama kita berhati-hati dalam apa jua yang kita ingin sampaikan. Perhati apa yang ingin dikatakan; baik buruk, benar salah, sesuai atau tidak perkataan yang ingin dilontarkan. Niat dan matlamat yang baik tidak menghalalkan segala cara utk mencapainya. Biarlah matlamat yang baik dicapai dengan cara yang baik jua.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment