PERINGKAT PUASA
Q & A: Apakah caranya untuk kita mendapat Ramadan yang paling baik dan berkualiti?
Jawapannya: Ada pada ayat pensyariatan ibadah puasa yang Allah abadikan dalam al-Quran. Peringkat demi peringkat yang telah disusun cantik oleh Allah supaya kita mendapat kesudahan terbaik.
Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183: "Hai orang-orang yang beriman, di wajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
Cuba kita perhatikan peringkat-peringkat ini:
1. Peringkat pertama - Allah menyatakan, 'wahai orang-orang yang beriman'.
Arahan berpuasa dikhususkan hanya bagi orang yang beriman. Dalam erti kata yang lain, orang yang asli imannya sahaja yang boleh berpuasa dengan baik dan dapat naik ke peringkat seterusnya.
Timbul persoalan, bukankah kalau kita belajar ilmu feqah, syarat wajib puasa antaranya Islam. Mengapa ayat tadi tidak menyebut, wahai orang-orang Islam sebaliknya menyebut, wahai orang-orang yang beriman?
Jawapannya, kalau semata-mata Islam tidak semestinya boleh berpuasa dengan baik. Sebab itulah kita melihat ada orang Islam yang berpuasa tetapi tidak solat atau tidak menutup aurat atau menipu atau masih melakukan maksiat-maksiat yang lain. Ini kerana dia hanya berpuasa kerana dia seorang Islam tetapi tidak disertai dengan iman.
2. Peringkat kedua - Allah menyatakan 'diwajibkan kamu berpuasa'.
Berpuasa dalam erti kata yang sebenarnya bukan sahaja tidak makan, tidak minum dan tidak bersama pasangan pada siang hari malah, seluruh anggota dan jiwanya berpuasa. Waktu Ramadannya diisi dengan pelbagai amalan yang paling baik. Bagaimana kita ingin mengetahui amalan yang terbaik pada bulan Ramadan ini? Jawapannya ada pada peringkat ketiga.
3. Peringkat ketiga - Allah menyatakan 'sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu'.
Timbul persoalan, mengapa perlu Allah menyuruh kita memikirkan puasa orang-orang terdahulu sebelum daripada kita? Kalau Allah hanya menyebut, 'Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa agar kamu bertaqwa tanpa menyebut 'sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu'.
Itu sudah memadai untuk kita memahami arahan berpuasa dan untuk mendapat takwa. Jawapannya disebut oleh Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya iaitu kerana pada mereka ada contoh yang baik untuk diikuti.
Kalau pada zaman nabi, Rasulullah dan para sahabat melihat bagaimana nabi-nabi dan umat terdahulu berpuasa untuk mencari teladan dan sempadan. Begitu juga kita pada hari ini melihat bagaimana orang terdahulu berpuasa dan contoh yang paling baik ialah puasa Rasulullah dan para sahabat.
Siang mereka bukan setakat tidak makan dan tidak minum malah penuh proaktif dengan kerja, dakwah dan jihad. Waktu malam mereka pula dihidupkan dengan ibadah menyucikan hati sehingga tidur mereka yang sedikit itu pun dipenuhi pahala. Hasilnya terlihat diperingkat yang keempat.
4. Peringkat keempat - Allah menyatakan 'agar kamu bertakwa'.
Selepas lulus ketiga-tiga peringkat itu. Barulah Allah mengurniakan kepada kita sijil takwa.
Takwa bermakna pemeliharaan dan penjagaan. Orang yang bertakwa ialah orang yang dijaga Allah. Hidup matinya sentiasa dalam pemeliharaan Allah. Maksiat tidak akan mampu menembusi dirinya kerana takwa adalah baju kalis maksiat yang istimewa daripada Allah.
Puncak anugerah bagi orang yang bertakwa ialah reda dan syurga Allah SWT. Allah menegaskan dalam surah Ali Imran ayat 133:
"Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan hanya bagi orang-orang yang bertakwa."
Selamat mengejar takwa di bulan Ramadan al-Mubarak ini.
Sumber: Artikel analisis Kosmo!, Peringkat Kejayaan dalam 'Universiti' Ramadan, oleh Imam Muda Mohd Fakhrurrazi Hussin.
@KemusykilanAgama
No comments:
Post a Comment