Hari Raya: Hari Bersedih atau Bergembira?
=======================
1. Menurut Ibn al-Arabi, dinamakan hari itu sebagai hari Raya kerana manusia mengulangi kegembiraan mereka pada setiap tahun. Bererti hari Raya adalah hari kita menzahirkan kegembiraan. (al-Azhari, al-Tahzib)
2. Ini selaras dengan perbuatan Rasulullahﷺ. Menurut Aisyah, dua orang hamba perempuan menyanyi menzahirkan kegembiraan mereka pada hari Raya. Perkara ini ditegur oleh Abu Bakar. Melihat insiden tersebut, Rasulullahﷺ berkata kepada Abu Bakr: (Biarkan mereka, wahai Abu Bakr), sesungguhnya setiap kaum mempunyai Hari Raya, dan hari ini adalah Hari Raya kita. Tindakan Rasulullahﷺ ini seolah membiarkan mereka menzahirkan kegembiraan mereka selagimana tiada unsur maksiat. (HR al-Bukhari dan Muslim)
3. al-Bukhari turut meriwayatkan perbuatan Bani Arfidah (dari Habsyah) yang bermain (tarian) pedang pada Hari Raya bagi menzahirkan kegembiraan mereka. Perbuatan ini pada awalnya ditegur oleh Saidina Umar. Namun Rasulullahﷺ membiarkan mereka dengan alasan yang sama iaitu menzahirkan kegembiraan pada hari Raya.
4. Ada satu point yang menarik di sini. Bagi orang awam, Rasulullahﷺ membiarkan mereka menzahirkan kegembiraan mereka kerana itulah hari bagi mereka meraikan kegembiraan setelah beribadah.
5. Namun bagi kumpulan yang mempunyai kefahaman dari sudut yang berbeza, reaksi mereka tidak begitu. Kita lihat bagaimana Abu Bakar dan Umar mempunyai reaksi yang berbeza apabila kegembiran itu hanya dizahirkan dengan nyanyian dan permainan. Malah Abu Bakr dan Umar bimbang sekiranya ada unsur maksiat di situ.
6. Perkara yang sama berlaku kepada Saidina Ali bin Abi Talib. Seorang lelaki telah masuk ke rumah Ali pada Hari Raya dan dia mendapati Ali makan roti yang telah keras pada hari tersebut. Lelaki tersebut menegur Ali dengan berkata: "Apakah engkau memakan roti keras pada Hari Raya ini? Saidina Ali lantas menjawab: “Hari Raya yang sebenar adalah hari apabila Allah menerima amalan kita. Dan setiap hari yang tidak kita lakukan maksiat adalah Hari Raya buat kita!”
7. Justeru, adalah wajar bagi seorang Muslim menzahirkan kegembiraan mereka pada Hari Raya. Ia adalah selari dengan Sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah. Namun, perayaan kita bukanlah satu perayaan apabila dicemari dengan unsur-unsur maksiat. Benarlah kata Saidina Ali: “Setiap hari yang tidak kita lakukan maksiat adalah Hari Raya buat kita!”
Salam Eidulfitri Maaf Zahir & Batin...
No comments:
Post a Comment