Tadi Allah kurniakan kesempatan pada kami sekeluarga untuk bermuhasabah diri.
Ketika kami sedang memandu pulang dari suatu urusan di Putrajaya dan hampir sampai ke rumah, seorang lelaki penjual aiskrim dengan motornya sedang melintas sebelah kami.
Melihat bekas aiskrim di belakang motornya, anak-anak saya pun meminta untuk dibelikan aiskrim buat mereka yang memang gemarkan aiskrim.
Sambil memandu, saya pun membuka tingkap kereta menunjukkan isyarat “good” sebagai tanda hajat untuk membeli aiskrimnya.
Kami pun berhenti di tepi jalan.
Saya membeli 1 roti aiskrim dan 3 aiskrim kon perisa durian dan coklat.
Saya tanya padanya: “Berapa semua bang?”.
Jawabnya: “5 ringgit”.
Saya tanya lagi: “Ada topping kacang?”.
Jawabnya sambil tersenyum: “Takde, tak sempat nak cari sebab ini first time saya jual aiskrim. Sebelum ni berhenti lama untuk raya”.
Saya pun membayar RM 5 padanya.
Dari perbualannya, saya merasakan dia seorang melayu muslim yang jelas riak kejujuran pada wajah dan tutur katanya.
Ketika saya berjalan kembali ke kereta, tiba-tiba saya patah balik padanya dan keluarkan dari dompet lagi RM 5 padanya dan hulurkan padanya sambil ucapkan “Selamat beraya bang” walaupun musim raya dah nak habis, lalu kembali semula ke kereta.
Dia kelihatan terkejut, namun menerimanya.
Semasa kami memandu melintasinya, kami terlihatnya menangis sambil mengelap air matanya dengan tisu. Dari motornya dia melihat saya dan mengucapkan “terima kasih” berkali-kali.
Tiba-tiba saya dan isteri terkedu dan berasa sungguh hiba, lalu kami berhenti semula di hadapan untuk memujuknya.
Kebetulan dompet saya kering tadi dan hanya berbaki beberapa ringgit sahaja.
Isteri saya mencari beg duitnya terkial-kial sambil mengendong bayi dan cuba menghulurkan duitnya pada saya untuk dihadiahkan pada si penjual aiskrim tadi kerana begitu tersentuh melihat air matanya.
Saya pun keluar kereta untuk berjalan kembali kepadanya, namun dia telah berlalu pergi perlahan-lahan dengan motornya berpatah balik ke belakang tanpa melihat saya.
Saya berasa sungguh kesal kerana tidak sempat kembali menemuinya untuk memeluknya serta menghulurkan lebih apa yang ada pada kami.
Hanya RM 5!
Namun begitu besar nilai RM 5 itu buat dirinya sehingga menangis mengalirkan air mata.
Saya terfikir, pasti hidupnya begitu susah sehingga RM 5 yang barangkali dicampak-campak anak kita itu begitu terkesan buatnya.
Seorang melayu muslim yang menjual aiskrim dengan motor bukan senang untuk kita temui di negeri-negeri bandar seperti Selangor dan Kuala Lumpur ini yang kebiasaannya dijalankan oleh warga asing.
Pasti hidupnya sangat susah!
Itu membuatkan kami suami isteri bertambah kesal dan sangat sedih kerana tidak sempat memintasnya kembali.
Sampai saat saya mencoretkan perkongsian ini, saya masih berasa sedih dan kesal sambil mendoakan agar Allah membantu urusannya serta memurahkan rezekinya.
Saya menoleh ke arah anak sulung saya di dalam kereta dan kata padanya: “Durar nampak tak pakcik tu kita bagi 5 ringgit je pun menangis gembira? Durar pulak Allah bagi banyak apa yang Durar nak boleh dapat. Durar kene syukur kat Allah dan banyak-banyak bantu orang susah nanti ok?”.
Anak perempuan saya itu diam sambil menganggukkan kepalanya.
Impiannya suatu hari nanti nak jadi “business women muslimah” yang berjaya supaya dapat tolong ramai orang susah dan sesiapa yang memerlukan.
Moga Allah berkati.
-Dr. Kamilin Jamilin-
No comments:
Post a Comment