Saturday, 4 August 2018

BERZIKIRLAH SAMPAI MATI


BERZIKIRLAH SAMPAI MATI

Jalan yang dipercayai dan diyakini oleh para Salik yang dibimbing oleh para Sufi adalah terus istiqamah membersih hati dengan asma2 khusus agar cermin hati bersih dari bayangan  akhyar (selain Allah).

Dalam Mawaqif al Bishri disebutkan bahawa AlIah swt. berfirman yang bermaksud: 

”Jika kamu tidak melihat Aku, tetaplah menyebut nama-Ku. Lalu bila kamu melihat Aku, maka diamlah (hati bermuraqabah). Sesungguhnya Aku memerintahkan kamu menyebut nama-Ku tidak lain sebagai cara untuk engkau hadir bersama-Ku. Sesungguhnya nama-Ku tidak berpisah denganKu.” 

-- Dari Kitab Imam Abdul Wahhab as Sya'arani, al Anwar al Qudsiyyah Fil Qawaid As Suffiyah.

Jalan paling pantas untuk menuju kepada Allah adalah berdzikir, kaedah ini diyakini oleh si Sufi (sufi bermaksud  manusia yang sudah wushul kepada Allah).

Seperti yang dinukil oleh Sheikh Abdul Wahhab As Sya'arani dalam kitabnya diatas, berkata Sayyid Yusuf al-‘Ajami, seorang guru Silasilah, telah meriwayatkan dalam risalahnya hadis  dengan sanadnya yang bersambung dari Ali bin Abu Talib r.a., dia berkata: ”Aku telah berkata: ’Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku jalan yang paling dekat, paling mudah dan paling utama bagi seorang hamba untuk menuju kepada Allah S.W.T.” 

Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Ali, hendaklah kamu sentiasa berzikir kepada Allah S.W.T. secara Sirri (dihati) mahupun jahri (dilidah).” 

Saidina Ali kwj berkata: ”Setiap orang berzikir wahai Rasulullah, hanya yang aku inginkan agar engkau memberiku suatu amalan khusus.” 

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Ali, kalimat yang terutama yang telah diucapkan olehku dan para Nabi sebelumku ialah ”La Ilaaha Illa Allah”. Kalau tujuh petala langit dan tujuh petala bumi ada di neraca timbangan dan  ’La Ilaaha Illa Allah’ di neraca timbangan yang lain, tentu lebih berat ’La Ilaaha illa Allah’.”

Hadith ini juga dikuatkan dengan riwayat Ibn Hibban, al Hakim dan lainnya berupa marfu’, bahawa Nabi Musa a.s. telah berkata;

”Wahai Tuhanku, ajarkanlah padaku sesuatu di mana aku dapat mengingati-Mu dengannya dan aku dapat memohon kepada-Mu dengannya pula.” 

Allah berfirman: ”Wahai Musa katakan: ’La Ilaaha Illa Allah’.” Musa berkata: ”Wahai Tuhan, semua sahabatku telah mengucapkan kalimat ini.” 

Allah berfirman: ”Ucapkanlah: ’La Ilaaha Illa Allah’.” Musa berkata lagi: 

”Wahai Tuhan, sesungguhnya aku ingin Engkau memberi kepadaku sesuatu yang teristimewa.” 

Allah berfirman: ”Wahai Musa, jika sesungguhnya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi berada di neraca timbangan dan ’La Ilaaha Illa Allah’ di neraca timbangan yang lain, tentu lebih berat ’La Ilaaha Illa Allah’.”

Berkata Sheikh Ali al-Murshiti r.h. : ”Tidak mungkin murid akan berhasil diberi sesuatu, dimana dalam hatinya dia masih menghadirkan sesuatu darl alam ini (selain Allah masih hadir dihatinya). Sesungguhnya keberhasilan itu hanya bagi orang yang telah menyaksikan Al-Haq Azza wa Jalla dengan hatinya serta ghaib dari sesuatu selain-Nya.

Jadi murid itu tidak boleh memutuskan majlis zikir apabila ia belum berhasil ghaib (fana) dari rasa wujud alam. Barangsiapa memutuskan hal ini sebelum dapat ghaib (fana), seolah-olah sedikit pun dia belum mengingati Allah S.W.T., seperti pohon yang tidak berbuah. Meskipun dengan itu dia tetap mendapatkan hasanat (kebaikan).

Oleh kerana itu al-Syibli r.h. berkata;  ”Barangsiapa menyaksikan makhluk, bererti dia masih tidak melihat Al-Haq. Dan barangsiapa menyaksikan Al-Haq, tidak akan melihat makhluk kecuali orang yang sempurna.”

No comments:

Post a Comment