Thursday, 7 February 2019

Hak-Hak Seorang Muslim

HAK-HAK SEORANG MUSLIM

1. Rasulullah SAW bersabda, "Berilah upah kepada kuli (pekerja) sebelum peluhnya kering." (Ibnu Majah)

2. Rasulullah SAW bersabda, "Dengarlah dengan penuh perhatian, berlaku baiklah terhadap isteri-isteri kamu kerana mereka ialah tawanan di sisi kamu. Kamu tidak memiliki apa-apa hak daripada mereka selain daripada mereka perlu menjaga kesucian diri mereka dan menjaga harta benda kamu. Namun, jika mereka melakukan perkara yang keji secara terang-terangan maka tinggalkanlah mereka sendirian di tempat tidur mereka yakni jangan tidur bersama mereka namun mereka tetap tinggal di dalam rumah. Dan pukullah mereka dengan pukulan yang ringan. Selepas itu jika mereka kembali mentaati kamu maka janganlah kamu mencari apa-apa alasan (untuk menzalimi mereka). Dengarlah dengan penuh perhatian, sesungguhnya ada hak kamu yang menjadi tanggungjawab isteri kamu dan (demikian juga) ada hak mereka yang menjadi tanggungjawab kamu. Adapun hak kamu yang menjadi tanggungjawab isteri kamu ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu tidak suka memijak tilam-tilam kamu dan tidak membenarkan sesiapa yang kamu tidak suka memasuki rumah kamu. Dengarlah dengan penuh perhatian, hak isteri-isteri kamu yang menjadi tanggungjawab kamu ialah berlaku baik terhadap mereka dalam urusan pakaian dan makanan mereka yakni sediakan perkara-perkara itu sesuai dengan kemampuan kamu." (Tirmiżi)

3. Rasulullah SAW bersabda, "Jika saya memerintah sesiapa bersujud kepada seseorang pasti saya memerintahkan wanita-wanita supaya bersujud kepada suami mereka kerana besarnya hak terhadap suami yang Allah telah pertanggungjawabkan ke atas para wanita." (Abu Daud)

4. Rasulullah SAW bersabda, "Mana-mana isteri yang meninggal dunia sedangkan suaminya reda terhadapnya akan memasuki syurga." (Tirmiżi)

5. Sayyidatina Aisyah berkata, "Seorang wanita tua telah datang kepada Nabi SAW sedangkan pada masa itu Baginda berada di samping saya lalu Baginda berkata kepada wanita itu, "Siapakah kamu?" Beliau menjawab, "Saya ialah Juśamah Madaniyyah." Baginda berkata lagi, "Apakah hal kamu? Bagaimana keadaan kamu selepas kami (datang ke Madinah)?" Wanita itu menjawab, "Wahai Rasulullah, ibu dan ayah saya korbankan untuk tuan, kami berada dalam keadaan baik. Apabila wanita itu telah pergi maka saya bertanya (kehairanan), hai Rasulullah, tuan memberi perhatian yang begitu sekali kepada wanita tua itu?" Baginda menjawab, "Beliau selalu datang kepada kami semasa hayat Khadijah sedangkan layanan yang elok kepada kenalan lama ialah (tanda) iman." (Mustadrak Hakim dan Isobah)

6. Rasulullah SAW bersabda, "Tidak sepatutnya sorang lelaki mukmin membenci isterinya yang mukminah. Jika ada kelakuannya yang dibenci, terdapat juga kelakuannya yang lain yang disukai." (Muslim)

7. Rasulullah SAW bersabda Yang terbaik antara kamu ialah orang yang terbaik kepada ahli keluarganya dan aku ialah yang terbaik kepada ahli keluarga dalam kalangan kamu” (Ibnu Hibban)

8. Nabi SAW bersabda, "Mana-mana kumpulan orang yang makan bersama anak yatim maka syaitan tidak dapat menghampiri talam makanan mereka." (Tabarani: Majma uz-Zawa'id)

9. Seorang lelaki mengadu kepada Nabi SAW tentang hatinya yang keras maka Baginda bersabda, "Selalulah usapkan kepala anak yatim dan jamulah orang-orang miskin." (Musnad Ahmad: Majma uz-Zawa'id)

10. Nabi SAW bersabda, "Ganjaran orang yang berusaha menyempurnakan keperluan balu-balu dan orang-orang miskin ialah seperti ganjaran mujahid di jalan Allah SWT ataupun seumpama orang yang berpuasa pada waktu siang dan beribadat sepanjang malam." (Bukhari)

No comments:

Post a Comment