Thursday 1 November 2018

Cabaran Dakwah Nabi Muhammad

 

Saat Kewafatan Rasulullah s.a.w Pada waktu paginya keadaan sakit Baginda kembali semula. Fatimah binti Muhamad anak Rasulullah s.a.w datang menziarahi ayahnya. Fatimah merupakan anak kesayangan Baginda dari zuriat Khadijah binti Khuwailid. Baginda menyampaikan pesanan kepada Fatimah sebagaimana diriwayatkan dalam hadis, Dari Aisyah dia berkata: “Pada saat Nabi s.a.w sakit, maka Fatimah datang menjenguk dan menemui Baginda lalu dia merebahkan kepalanya (di dada Baginda) dan menciumnya, kemudian Fatimah mengangkat kepalanya sambil menangis, lalu dia merebahkan kepalanya di dada Baginda (yang kedua kali), dan mengangkatnya kembali sambil tersenyum, maka kataku (dalam hati): “Sungguh aku telah mengira bahawa Fatimah adalah orang yang paling kuat (teguh ketabahannya) di antara wanita-wanita kami namun ternyata dia juga boleh jadi seperti wanita-wanita lainnya (iaitu boleh sedih dan menangis).” Ketika Nabi s.a.w telah wafat, maka aku bertanya kepada Fatimah: “Tahukan kamu ketika kamu menyandarkan kepalamu kepada Nabi s.a.w lalu kamu mengangkatnya sambil menangis, setelah itu kamu menyandarkan kepalamu (yang kedua kalinya) lalu mengangkatnya sambil tersenyum, apa yang membuatmu seperti itu?” Fatimah menjawab: “Sesungguhnya (waktu itu) aku mendapatkan berita rahsia, Baginda nm memberitahukan kepadaku, bahawa Baginda sudah hampir wafat kerana sakit yang ditanggungnya, maka aku menangis, kemudian Baginda juga memberitahukan kepadaku bahawa aku adalah salah seorang dari anggota keluarganya yang pertama kali akan menyusul Baginda (meninggal dunia), kerana itulah aku tersenyum.” (Sunan At-Tirmidzi) Rasulullah s.a.w juga memberikan berita gembira buat Fatimah bahawa beliau adalah Sayyidah Nisa' al-'Alamin (Penghulu Wanita Dunia). Fatimah melihat beban kesakitan terlalu berat dialami oleh Rasulullah s.a.w. Beliau berkata: "Alangkah berat siksa bapa". Jawab Rasulullah s.a.w: "Tiada siksa lagi bagi bapamu selepas hari ini". Seterusnya Baginda memanggil Hasan dan Husain cucu-cucunya yang menjadi penyejuk jiwanya lalu Baginda mencium kedua-duanya sambil berwasiat kepada mereka berdua dengan kebaikan. Rasulullah s.a.w kemudianya menjemput isteri-isterinya lalu memberikan nasihat dan peringatan kepada mereka semua. Keadaan Baginda semakin tenat antaranya adalah dari kesan racun yang pernah termakan oleh Bagainda semasa perang Khaibar. Rasulullah berkata kepada Aisyah, "Wahai Aisyah kini aku masih terasa sakit kesan makanan di hari Khaibar dahulu, inilah masanya aku mendapati nafas ku sesak terputus-putus kerana kesan racun itu". Lalu Rasulullah mewasiatkan orang ramai dengan sabdanya: "Solat, solat dan berbuat baiklah kepada hamba sahaya milik kamu". Baginda mengulangi ungkapan ini berkali-kali. Bersambung esok. Insya Allah Ust. Sabir 28hb. April 2018 12 Syaban 1439H

No comments:

Post a Comment