Friday 2 November 2018

"Tok Nenek, Cucu Tumpang Lalu"






Meminta Bantuan Jin

Antara amalan yang popular dalam masyarakat kita apabila sampai di satu tempat, atau masuk ke dalam hutan ialah 'meminta izin daripada penghuni tempat tersebut'.

Zaman kanak-kanak dulu popular kata-kata 'Tok nenek, minta izin cucu nak lalu'.

Jika terpaksa buang air kecil dalam hutan dicelah-celah pokok pun akan diajar untuk meminta izin dengan lafaz seperti di atas.

Tahukah kita bahawa ia termasuk meminta perlindungan daripada jin?

وَأَنَّهُ ۥ كَانَ رِجَالٌ۬ مِّنَ ٱلۡإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ۬ مِّنَ ٱلۡجِنِّ فَزَادُوهُمۡ رَهَقً۬ا (٦)

Dan bahawasanya ada manusia yang meminta perlindungan kepada jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka ketakutan (al-Jin : 6)

Imam Ibn Kathir menukilkan dalam Tafsir al-Quran al-Azhim:

كنا نرى أن لنا فضلاً على الإنس؛ لأنهم كانوا يعوذون بنا إذا نزلوا وادياً أو مكاناً موحشاً من البراري وغيرها،

(Jin berkata): Kami berpendapat diri kami lebih mulia daripada manusia kerana mereka meminta perlindungan kami daripada gangguan haiwan liar dan lain-lain apabila mereka lalu di mana-mana lembah atau tempat yang sunyi

كما كانت عادة العرب في جاهليتها يعوذون بعظيم ذلك المكان من الجان أن يصيبهم بشيء يسوءُهم،

Ini sebagaimana kebiasaan masyarakat Arab Jahiliah. Mereka meminta perlindungan kepada keramat tempat tersebut daripada gangguan jin atau daripada ditimpa sesuatu yang buruk.

كما كان أحدهم يدخل بلاد أعدائه في جوار رجل كبير وذمامه وخفارته،

Ini sebagaimana apabila mereka masuk ke dalam negara musuh-musuh mereka, mereka akan mendapat perlindungan dan diiringi oleh orang-orang besar negara tersebut.

فلما رأت الجن أن الإنس يعوذون بهم من خوفهم منهم، زادوهم رهقاً، أي: خوفاً وإرهاباً وذعراً، حتى بقوا أشد منهم مخافة، وأكثر تعوّذاً بهم،

Apabila jin melihat manusia memohon perlindungan daripada mereka kerana perasaan takut kepada jin-jin itu. Maka jin-jin itu menambahkan lagi perasaan takut dan panik. Sehinggalah perasaan takut itu menjadi semakin kuat, dan mereka akan semakin banyak memohon perlindungan jin.

Dalam Al-Qaul Al-Mufid disebutkan:

 وكانت العرب في الجاهلية إذا نزلوا في واد نادوا بأعلى أصواتهم: أعوذ بسيد هذا الوادي من سفهاء قومه.

Ketika orang arab di zaman jahiliyyah, apabila mereka berhenti di satu lembah, mereka akan menyeru dengan suara mereka yang tinggi: Aku berlindung dengan tuan lembah ini (iaitu jin) daripada golongan jahat di kalangan mereka.

Kata Shaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin lagi:

وهذه الآية تدل على أن الاستعاذة بالجن حرام، لأنها لا تفيد المستعيذ، بل تزيده رهقا،

Ayat ini menunjukkan bahawa memohon perlindungan dengan jin adalah haram. Ini kerana ia tidak akan dapat membantu orang yang memohon perlindungan, sebaliknya jin-jin itu akan menambahkan rasa takut.

Sebaliknya, mohonlah perlindungan kepada Allah. Antaranya dengan membaca doa di bawah:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

"Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada keburukan apa yang dia ciptakan"

Daripada Khaulah bte Hakim al-Sulamiyyah radiallahu 'anha:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ نَزَلَ مَنْزِلًا ثُمَّ قَالَ أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ حَتَّى يَرْتَحِلَ مِنْ مَنْزِلِهِ ذَلِكَ

Aku mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang singgah di satu tempat, kemudian dia membaca 'Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada keburukan apa yang dia ciptakan'. Sesungguhnya tiada sesuatu pun yang dapat memudharatkannya sehingga dia beredar dari tempat tersebut. [Sahih Muslim, Kitab ad-Dzikr wa ad-Dua' wa at-Taubah wa al-Istighfar, hadis no: 2708]

No comments:

Post a Comment