Thursday 1 November 2018

Sheikh Abdul Kadir Al-Jailani




gambar sekadar hiasan



Hikayat Sheikh Abdul Kadir Al-Jailani


Sebagai seorang penuntut ilmu, adalah wajar untuk kita merasa kagum dengan tokoh-tokoh yang pernah menyumbangkan tenaga dan masanya untuk berdakwah dan menyampaikan ilmu. Jasa yang ditaburkan sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Termasuklah seorang tokoh yang tidak asing lagi namanya di nusantara. Beliau adalah Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani. Seorang tokoh yang mashyur dikalangan para pengamal tareqat. Beliau dikenali sebagai seorang yang mempunyai sifat zuhud dan tawadduk.

Malangnya, ketokohan dan kisah hidup Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani semakin lama semakin tercemar. Ianya berpunca daripada sebahagian pengamal tareqat yang yang ghuluw (berlebih-lebihan) dalam mengangkat beliau. Maka, tersebarlah hikayat dan cerita yang tidak ada asal usul berkenaan dengan karomah dan kewalian Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani semata-mata untuk meraih ramai pengikut. Yang amat mendukacitakan, terdapat hikayat keterlaluan yang disandarkan kepada beliau terlalu berlebihan hingga menandingi kerasulan nabi sallallahu alaihi wasalam.

Ibnu Rajab Al Hanbali mengatakan

" Sheikh Abdul Qadir Al Jailani merupakan seorang yang diagungkan pada masanya. Diagungkan oleh para sheikh, ulama mahupun ahli zuhud. Beliau memiliki banyak karomah. Akan tetapi, seorang yang bernama Muqri' Abul Hasan As Syatnufi Al Misr (orang Mesir) mengumpulkan kisah-kisah dan keutamaan-keutamaan Sheikh Abdul Qadir Al Jailani dalam tiga jilid kitab. Dia telah menulis perkara-perkara yang pelik berdasarkan rekaannya (pembohongannya) semata-mata. Cukuplah seorang itu dikatakan pendusta bila mana dia menceritakan semua yang dia dengar.

Aku telah melihat kitab tersebut tetapi hatiku tidak tenteram untuk meriwayatkan apa yang ada di dalamnya melainkan kisah-kisah yang terkenal dan mashyur selain dari kitab ini. Kerana kitab ini memiliki banyak riwayat dari orang yang tidak dikenali. Juga terdapat perkara-perkara yang jauh dari agama, kesesatan-kesesatan dan dakwaan-dakwaan bathil yang tidak berasas. Kesemua itu tidak sepatutnya dinisbatkan kepadanya. Dan aku mendapati Kamal Ja'far Al Adfawi mengatakan bahawa As Syatnufi banyak berdusta atas kisah-kisah yang diriwayatkan di dalam kitab ini. "

Pembaca yang mengikuti perkembangan penulis bolehlah cuba dapatkan buku seperti yang terdapat di dalam gambar. Pembaca boleh nilai sendiri karomah-karomah pelik yang disandarkan kepada beliau seperti terbang  sepantas kilat yang menyambar, bercakap dengan singa, rasulullah pun berwasiat untuk beliau, boleh berada di beberapa tempat dalam satu waktu, mati dalam keadaan berdiri dan bermacam-macam lagi. Berat rasa jemari untuk menulis lebih lagi disebabkan sanjungan mereka yang agak leterlaluan.

Bukanlah niat untuk menjatuhkan mana-mana fahaman tareqat. Tapi untuk memurnikan semula nama Sheikh Abdul qadir Al-Jilani daripada pendustaan sebilangan kecil pentaksub yang tidak bertanggungjawab mereka-reka cerita karut kemudian disandarkan kepada beliau.

Sekiranya beliau masih hidup, nescaya beliau akan merasa kecewa dengan pentaksub beliau yang sanggup berdusta atas namanya semata-mata ingin meraih pengikut yang lebih ramai.

MFMR

No comments:

Post a Comment