Friday, 19 April 2019
Bagaimana Jiwa Seorang Guru?
Seorang guru berkata,
" Jadi cikgu ni senang. Datang awal pagi, punch kad. Buat RPH, kelas jangan miss, handle program elok-elok, tak lama dapat APC. Buat aje kerja sendiri, jangan hirau yang lain. Hujung bulan dapat gaji, ada rezeki, naik pangkat. Itulah cikgu. "
Katanya sambil tersenyum kepada aku. Aku hanya mengangguk tanda faham. Ingatkan habis disitu sahaja, rupanya ada lagi yang guru ini ingin bicara. Selepas menghirup sesisip kopi panas, dia menyambung,
" Tapi, kalau kau nak jadi cikgu yang sebenar berjiwa guru, bukan itu jalannya. Itu hanya asas sahaja. Guru yang berjiwa guru ni, dia cakna segala perkara. Terserempak dengan anak murid berhingus kat kantin pun dia berhenti tolong lap.
Murid rebah, murid luka dia dahulu berlari pergi dapatkan. Sedang itu diluar tugas beliau. Sedang itu tiada markah dicatat untuk APC atau kenaikan pangkat. Tapi bila dia ada JIWA SEORANG GURU, setiap langkahnya adalah untuk mendidik.
Guru biasa, masuk kelas hanya mengajar untuk habiskan silibus sahaja. Murid dapat ke tak, itu dia tak hirau. Nak cepat pandai, dia suruh masuk kelas tambahan yang dia buat. Kenakan bayaran, dapat imbuhan tambahan. Sentuh budak jauh sekali, bahaya pada kerjaya padanya. Nanti didenda, nanti didakwa. Nanti payah nak naik pangkat, dapat APC dan sebagainya. Kerana dia hanya bekerja sedang jiwa tiada. "
Aku diam membungkam. Tiada menggeleng, tiada mengangguk lagi. Hanya mahu dia meneruskan bicara. Kata-katanya sangat terkesan di hati. Mutiara kata ini bukan selalu didendangkan. Jarang-jarang kelihatan. Selalunya mutiara seperti ini terpendam di lautan yang paling dalam.
Guru itu menyisip lagi kopi pahitnya. Direnung dalam mata, dia sambung bercerita.
" Guru yang berjiwa guru, laluannya sukar. Halangannya tidak sedikit. Tapi bila ada jiwa, tiada gentar dihati. Murid yang degil, yang malas, yang nakal dikejar tanpa henti. Padahal bukan ada upah tambahan. Baik duduk diam sahaja.
Murid yang lalai dan leka didenda, dihukum agar mereka sedar. Agar mereka merubah diri. Padahal surat saman bakal menanti, silap-silap makan diri. Tapi dia tidak boleh menahan diri, bila dalam diri ada jiwa, dia takkan biarkan sahaja anak didiknya terus hanyut begitu sahaja.
Dan biasanya, guru yang berjiwa guru ini payah nak naik ke atas. Sebab dalam failnya penuh aduan. Tapi percayalah, di mata Yang Maha Kuasa, pangkat dia telah lama dinaikkan. Saat dia menghayun rotan penuh ikhlas untuk mendidik, saat itu taraf beliau jauh di atas sana berbanding guru biasa. Yang hanya tahu menjaga periuk nasi dan pentingkan kerjaya sahaja."
Guru itu menghabiskan sisa air kopinya. Ditinggal duit di atas meja dan dia berlalu pergi. Meninggalkan aku termangu sendirian memikirkan kata-kata yang dia tinggalkan sendirian.
Dalam diam aku bertanya pada diri sendiri,
" Apa aku sebenarnya? Hanya guru biasa atau guru yang mempunyai jiwa? "
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment