Wednesday, 10 July 2019

SYIRIK MEMUSNAHKAN SELURUH AMALAN



ASSALAMUALAIKUM WBT

Kisah Luqman Al-Hakim menjadi perbincangan para ulama dalam kitab-kitab mereka. Imam Ibnu Kathir menyebut bahawa ulama salafussoleh berselisih pendapat tentang Luqman; adakah beliau seorang nabi atau pun seorang hamba yang soleh. Majoriti ulama sepakat mengatakan Luqman adalah seorang bertaraf wali Allah dan bukan seorang nabi. Gelaran Al-Hakim adalah disebabkan kebijaksanaan dan butir-butir hikmah yang sentiasa keluar melalui tutur katanya. Wasiat kepada anak beliau telah dirakamkan dalam Al-Quran, Firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَـٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ یَعِظُهُۥ یَـٰبُنَیَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِیم

"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". [Luqman: 13]

Luqman melarang keras anaknya melakukan perbuatan syirik. Syirik mengakibatkan seluruh amalan terhapus dalam catatan amal dan pelakunya dihumban ke neraka. Syirik Akbar yang dilakukan secara Jali (nyata) seperti menyembah patung atau Khafi (tersembunyi) seperti berkeyakinan kuasa lain dapat memberi mudharat atau menyembuh adalah kufur. Syirik Asghar yang Jali seperti memakai tangkal juga azimat jika diyakini kekuasaannya boleh menjadi kafir sementara Khafi seperti riak juga berbahaya dapat menghapuskan amal soleh walaupun ia tidak membawa kepada kekufuran.

Oleh kerana itu, Luqman mewasiatkan anaknya supaya tidak menyekutukan Allah dan ianya menjadi keutamaan dalam wasiatnya. Sesungguhnya segala amalan yang dilakukan termasuk niat seseorang tidak terkecuali dicatat dalam suratan amal. Allah tidak meninggalkan walau sedikitpun perbuatan manusia melainkan semuanya tersenarai. Firman Allah SWT:

یَـٰبُنَیَّ إِنَّهَاۤ إِن تَكُ مِثۡقَالَ حَبَّة مِّنۡ خَرۡدَل فَتَكُن فِی صَخۡرَةٍ أَوۡ فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰتِ أَوۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ یَأۡتِ بِهَا ٱللَّهُۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَطِیفٌ خَبِیر

"(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas-Nya). Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuan-Nya lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi". [Luqman: 16]

Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan supaya tidak terjebak dalam syirik yang membinasakan. Adalah merugikan ibadah yang kita lakukan secara bersungguh-sungguh, puasa dan sedekah jariah yang sekian banyak tatkala amalan tersebut bersulam perbuatan riak yang memusnahkan segala yang dikerjakan. Semoga Allah menghindarkan kita semua daripada anasir syirik sama ada melalui niat, iktiqad, perbuatan dan percakapan.

No comments:

Post a Comment