Sunday, 25 November 2018

Tentang Riak

gambar sekadar renungan


Bismillahir Rahmanir Rahiim...

Assalamualaikum dan Selamat Pagi

اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم

┈••✾•◆❀◆•✾••┈•┈┈••✾•◆❀◆•✾••┈

RIAK YANG MEMBINASAKAN DIRI

Salah satu penyakit hati ialah sifat riak yang dikenali melalui perwatakan yang suka menunjuk-nunjuk serta ego.

Bagaimanakah kita hendak mengenali sifat-sifat ini?

Di sini saya sertakan tips mengenal-pasti sifat ini bagi membantu diri kita untuk mengubatinya,

Insha Allah.

RIAK

• Bangga dirinya melebihi orang lain, suka memuji diri, bangga dengan kemuliaan diri, harta, ilmu dan keturunannya.

• Suka menonjol diri kepada orang lain.

• Memandang rendah orang lain.

• Minta dirinya dipuji di majlis keramaian.

• Bermulut keji, suka mencela atau mengkritik orang lain secara berlebihan dan melampau.

• Berlagak angkuh ketika berjalan.

• Memaling muka ketika bertemu dengan seseorang.

• Berlagak dalam berbicara.

• Membantah teguran orang lain.

• Tidak mengendahkan nasihat dan teguran orang lain.

• Berlagak pandai walaupun tidak tahu.

• Berpakaian terlalu menonjol dan berlebih-lebihan.

• Suka menindas orang Islam yang lemah dan miskin.

• Berlagak dirinya sahaja betul dan tidak pernah salah.

• Suka membazir harta benda sama ada milik sendiri atau orang lain.

PUNCA

Antara punca utama segala sifat tersebut berlaku ialah apabila hati kita sudah hilang sifat kehambaan kepada Allah SWT.

Sudah tidak merasai kewujudan Allah SWT, yang bahawasanya dari Allahlah segala yang kita miliki dan punyai selama ini.

Segala-galanya hanya dipinjamkan Allah kepada kita sebagai modal untuk beramal.

Berusaha mentaati dan berbakti mengikut ketentuaanNya.

Firman Allah SWT: Maksudnya,

“Dan tidaklah mereka diperintahkan melainkan supaya beribadah kepada Allah dengan mengikhlaskan amal (ketaatan) kepada-Nya dalam menjalani agama yang lurus, mendirikan shalat, menunaikan zakat. Itulah agama yang lurus.” (QS. Al-Bayyinah : 5)

Kita seharusnya memahami bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah aturcara sebuah kehidupan yang melengkapi kehidupan insani, meletakkan sumber fitrah kepada yang haknya dan membatasi pada yang membinasakannya.

Indahnya Islam dapat dirasai apabila kita sudah mengetahui betapa indahnya hikmah yang tersirat disebalik setiap arahan, peraturan dan penetapan.

Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-hambanya dengan sesuatu yang memberati dan memayahkan.

Malah setiap sesuatu itu disudahi dengan kenikmatan serta ketenangan yang merupakan dambaan setiap jiwa insani.

Hanya mereka yang angkuh sahaja yang menafikan kebenarannya. Begitulah kasihnya Allah kepada kita.

ATASI

Justeru, cara yang baik untuk menghalang penyakit rohani dan takbur ini ialah dengan menguatkan diri dan mengawal segala perbuatan lahir dan batin disamping, menyedari kelemahan diri sendiri dan segeralah bertaubat.

Individu yang bersikap sedemikian perlu memohon keampunan Allah dan meminta dijauhkan dari sifat-sifat yang tercela itu dan gantikan dengan sifat-sifat mahmudiah (terpuji).

Sifat terpuji ialah lawan kepada sifat takbur seperti merendah diri, kasih sayang dan bersopan santun sesama manusia dan tolong menolong sesama insan, lebih-lebih lagi yang beragama Islam. Dari situlah akan lahirnya sifat ikhlas.

Bila kita sedari Allah Yang Maha Agong, rasailah bahawa kita ini adalah insan kerdil ciptaanNya.

Bila kita merasai kasih-sayangnya Allah, maka kita akan insafi betapa perlunya kita berkasih-sayang dan menghubungkan silaturrahim kerana kasih Allah pada kita tidak pernah pudar hanya kita yang sering menjauhkan diri dariNya.

Ikhlas sebenar-benar ikhlas akan lahir bila kita sedari segala-galanya adalah kepunyaan Allah.

Tidak ada milik kita. Tiada daya dan kuasa melainkan dari Allah segalanya.

No comments:

Post a Comment